Tips: Perkahwinan Bajet

Dengan kenaikan harga barangan, servis, serta taraf hidup yang semakin meningkat membuatkan segala jenis perbelanjaan turut meningkat. Ianya termasuklah perbelanjaan buat perkahwinan yang pastinya menuntun belanja yang besar bagi meraikan hari bahagia ini. Bagi mereka yang sedang merancang perkahwinan, adalah amat digalakkan untuk kalian merancang dengan teliti setiap satu perkara atau barangan yang ingin kalian gunakan kala menjelang hari paling bermakna dalam hidup ini. Usah bimbang diperkatakan orang jika majlis itu tidak semewah atau gah, asalkan kewajipan itu tertunai dengan sah. Bagi yang beragama Islam juga disarankan untuk melakukan majlis perkahwinan dengan sederhana agar ianya tidak bertukar menjadi riak dan membazir apabila ianya disambut dengan penuh mewah. Bak kata orang juga, ukur baju di badan sendiri. Seeloknya dahulukan apa yang penting dan tidak membebankan kalian di kemudian hari. Sederhana tetapi masih indah sepanjang majlis.

Mungkin ramai yang beranggapan mustahil untuk kahwin bajet pada masa kini. Namun, tiada yang mustahil jika kita tahu kehendak kita dan meletakkan yang paling rendah dalam berbelanja untuk menuju gerbang perkahwinan.

 

Di sini disenaraikan tips perkahwinan berbajet rendah agar impian perkahwinan kalian berjalan dengan lancar seperti yang diaturkan dan simple but nice.

 

Merisik, tunang dan nikah

Bagi masyarakat Melayu, majlis merisik, tunang dan nikah adalah adat yang sering diadakan untuk mereka yang ingin berkahwin. Sememangnya ia hanyalah adat semata-mata, tetapi jika pihak keluarga masih menginginkannya, cuba sebaik mungkin untuk mengurangkan bajet pada segi makanan, busana dan tempat. Cara terbaik untuk memotong kos perbelanjaan adalah dengan mengadakan majlis merisik dan tunang dalam satu masa, atau jika anda inginkan majlis yang lebih menjimatkan, langsungkan terus majlis pernikahan sekaligus dengan majlis resepsi. Satu resepsi dengan kehadiran kedua-dua belah keluarga sahaja sudah memadai untuk menyambut perkahwinan kalian. Tak perlu terlalu obses dengan pendapat orang luar, asalkan tidak membebankan diri dengan hutang kahwin sekeliling pinggang.

 

Lokasi perkahwinan

Lokasi majlis selalunya agak mahal untuk disewa. Hotel lima bintang, dewan besar dengan penghawa dingin selalunya akan memakan belanja yang tinggi. Tetapi ianya tergantung pada musim kerana jika anda memilih pada musim perkahwinan, ianya akan agak mahal. Cara yang terbaik adalah mencari lokasi yang murah, memudahkan kehadiran tetamu, cantik dan selesa. Kediaman sendiri atau mungkin lokasi taman hijau seperti Taman Tasik Permaisuri, Taman Titiwangsa atau banyak lagi pilihan lain yang boleh menjimatkan lagi kos perkahwinan kalian. Hanya dengan melalui beberapa prosedur dan pembayaran dalam anggaran RM200-RM300 sahaja untuk menyewa lokasi tersebut. Risikonya hanyalah pada cuaca hujan. Namun ianya boleh dielakkan dengan mencari masa dan musim yang sesuai.

 

Kurangkan anggaran jemputan

Setiap seorang cas anggaran untuk makanan lebih kurang RM8-RM15. Ianya bergantung pada jenis katering yang kita gunakan. Jadi, sebaiknya adalah dengan mengurangkan anggaran jemputan tetamu kerana tidak semua akan tentu hadir pada majlis tersebut jika ada halangan dan sebagainya. Jika bilangan tetamu yang hadir kurang daripada bilangan anggaran yang dijemput, ianya sudah menyebabkan kerugian dan sekaligus pembaziran pada makanan serta harga servis yang telah kita keluarkan.

 

Pelamin

Hari ini, segala jenis barangan DIY boleh kita dapat dengan harga yang berpatutan. Jika anda menginginkan sebuah majlis yang cantik dan indah tetapi dengan bajet yang rendah, cuba lakukan sendiri pelamin yang diingini mengikut kemampuan dan kemahiran. Bunga memainkan peranan penting dalam memberikan pelamin tampak gah berseri. Keperluan DIY pelamin yang anda perlukan seperti palet kayu, kerusi pengantin, juraian lampu, langsir atau tirai dan bunga-bungaan sebagai penghias kini lebih mudah didapati. Jika anda masih mempunyai bajet yang cukup, sewa pelamin idaman anda yang cantik tetapi tidak terlalu mahal agar lebihan duit simpanan kalian boleh digunakan untuk keperluan selepas majlis atau mungkin pakej bulan madu yang lebih mengujakan.

Busana pengantin

Jika perlu kawal bajet, mungkin cita-cita untuk menempah baju dengan pereka fesyen yang sudah lama di dalam industri fesyen sukar untuk direalisasi. Jadi anda perlu lebih realistik dan cuba cari alternatif lain. Khidmat sewaan baju pengantin adalah antara pilihan buat pasangan yang perlu bajet dan jika rekaan anda lebih ringkas, mungkin ada kenalan yang boleh bantu anda jahit jemeki untuk perindahkan busana. Adalah lebih menjimatkan jika ada ahli keluarga atau diri sendiri mahir menjahit. Mungkin anda hanya perlukan ilham buat inspirasi busana pengantin yang cantik menawan.

 

Jurugambar dan juruvideo

Ianya boleh menjimatkan perbelanjaan jika kita mengenali sesiapa yang menawarkan servis ini. Kerana peratusan untuk mereka memberikan harga yang jauh lebih murah adalah tidak mustahil. Kurangkan meminta yang melebih-lebih seperti lokasi penggambaran eksotik atau di luar negara kerana ia pastinya akan memerlukan lebih kos.

Kad jemputan

Dengan adanya teknologi dan sosial media masa kini, ianya turut memudahkan dan menjimatkan kita dari segi menjemput tetamu ke majlis hari berbahagia kita. Melalui jemputan Facebook atau emel sudah banyak mengurangkan perbelanjaan kita. Jika anda masih ingin mengekalkan tradisi menghantar kad kahwin, adalah disarankan untuk menghasilkan sendiri dan menggunakan jenis kertas yang tidak terlalu mahal tetapi memadai untuk mengalu-alukan kehadiran tetamu.

Katering

Ada banyak pilihan katering yang boleh anda pertimbangkan. Namun adakalanya sukar untuk buat pilihan kerana ada kalanya ia turut termasuk dengan pakej sewa dewan. Jadi pastikan anda membuat perbincangan awal selain perbandingan dengan katering lain atau melalui testimoni mereka yang pernah menggunakan khidmatnya. Pastikan anda mempunyai pilihan menu untuk dipilih mengikut sebut harga dan jangan lupa untuk minta sesi food tasting untuk memastikan menu yang anda pilih bersesuaian dengan cita rasa dan bajet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s