Tips memilih cincin perkahwinan
Buat bakal pengantin, cincin kahwin pastinya menjadi salah satu barangan terpenting bagi majlis bersejarah anda. Masakan tidak, cincin kahwin diibaratkan seperti tanda kenangan perkahwinan anda dan pasangan yang akan kekal dan dipakai sepanjang hayat. Bukan seperti busana pengantin, solekan atau hiasan pelamin yang indah yang hanya bertahan dan digunakan pada hari perkahwinan sahaja. Bahkan cincin kahwin membawa 1001 makna dalam sesebuah perkahwinan. Justeru, pemilihan cincin kahwin tidak harus dipandang ringan.
Ramai pasangan pengantin percaya cincin kahwin mempunyai nilai emosional yang tinggi. Berpegang kepada kepercayaan itu, kami kongsikan tip memilih cincin kahwin buat anda dengan harapan agar dapat memperoleh cincin terbaik mengikut citarasa masing-masing.
Bentuk cincin
Mulakan perjalanan perkahwinan anda dengan keserasian dalam memilih cincin kahwin. Pilihlah bentuk cincin yang sepadan atau seakan sama dengan pasangan sepertimana cocoknya anda berdua. Pastikan pilihan yang bakal dibuat memenuhi kehendak satu sama lain.
Jenis cincin
Kenalpasti cincin bagaimanakah yang disukai pasangan. Bagi bakal pengantin perempuan, anda boleh memilih samada inginkan cincin tradisional emas kuning atau cincin emas putih. Mengikut trend masa kini, kebanyakan pasangan pengantin memilih cincin emas putih yang tampak ringkas dan elegan. Namun, gabungan cincin emas kuning dan putih juga sesuai dijadikan cincin kahwin kerana mempunyai ciri moden dan kontemporari.
Batu permata
Cincin berlian cukup sinonim untuk perkahwinan. Pun begitu, jangan hadkan fikiran anda dengan cincin berlian sekiranya anda mahukan cincin berbatu. Pilihlah batu permata yang menarik perhatian anda seperti batu zamrud, kristal, firuz dan sebagainya.
Saiz cincin
Bukan busana sahaja yang perlu diukur dan disuaipadan. Sebaliknya, cincin juga perlu diukur mengikut saiz jari anda. Pastikan cincin kahwin anda terletak kemas di jari manis.
Elakkan mencuba cincin pada waktu pagi kerana jari anda sedang mengembang pada waktu tersebut.
Harga cincin
Dapatkan harga cincin mengikut bajet dan kemampuan anda. Untuk itu, rajinlah melakukan survey ke beberapa kedai emas bagi mendapatkan harga terbaik.
Apa yang lebih diutamakan adalah cincin perkahwinan anda itu nanti lebih praktikal dan sesuai dipakai dalam apa jua keadaan. Jangan membeli cincin yang mahal dan tidak praktikal. Bimbang nanti ia hanya tersimpan kemas di dalam kotak dan tidak digunakan.